fbpx

Anwar luang hampir sejam tinjau KEB 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika mengadakan lawatan di reruai pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di sini, hari ini. FOTO-FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan hampir sejam bagi meninjau hari pertama Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Terdahulu, Anwar tiba di PICC kira-kira pukul 4 petang sebelum disambut oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Sejurus tiba, Anwar kemudian terus bergerak ke Dewan Plenary PICC bagi mengikuti sesi Diskusi Madani bertajuk ‘Aspirasi Perpaduan Memperkukuhkan Agenda Bumiputera’.

Sesi diskusi itu menampilkan tiga ahli panel iaitu Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan.

Lebih menarik, Anwar memilih untuk duduk di tempat khas media di ruang kiri dewan dan bukannya di tempat duduk kenamaan di hadapan pentas utama.

Anwar juga meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk mengikuti diskusi itu termasuk beramah mesra dengan hadirin di dewan berkenaan.

Perdana Menteri turut meluangkan masa meninjau pameran agensi di aras bawah PICC selain turut menikmati secawan kopi latte jenama tempatan, Locca di ruang pameran Mara bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Asyraf Wajdi.

Mengikut jadual perjalanan KEB 2024, Anwar dijadual berucap pada majlis penutup pada Sabtu ini termasuk menerima Laporan Sesi Libat Urus KEB 2024.

KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di PICC melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada Sesi Libat Urus (SLU) meliputi 10 kumpulan.

Penganjuran KEB 2024 bertujuan memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi Bumiputera selaras dengan kerangka ekonomi Madani. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI