IPOH – Seramai 23 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand antara 71 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Perak dalam serbuan di 10 premis di sekitar Ipoh dan Enggor, Sungai Siput.
Tangkapan tersebut dijalankan hasil pemeriksaan terhadap 133 individu dalam operasi bermula pukul 4 petang semalam hingga 3 pagi hari ini.
Timbalan Pengarahnya, Sharmanrizal Rustam berkata, daripada jumlah itu, seramai 35 tangkapan membabitkan lelaki manakala 36 orang wanita selain seorang lelaki warga tempatan.
Katanya, tangkapan terdiri daripada warga Bangladesh, Pakistan, Laos, Vietnam, Indonesia, Myanmar dan Thailand berusia antara 18 hingga 50 tahun.
“Serbuan ke atas sebuah premis di Kampung Jawa di Ipoh itu dibuat susulan aduan dan risikan mengenai aktiviti hiburan yang menawarkan khidmat GRO. Dalam serbuan Op Gegar itu, seramai 23 wanita warga Thailand yang bekerja sebagai GRO ditahan untuk siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sembilan serbuan dijalankan di beberapa premis termasuk hotel dan spa, kedai makan, pembinaan, perkhidmatan dan juga pangsapuri serta penempatan warga asing di ladang di sekitar Enggor.
Katanya, kesemua warga asing itu ditahan bagi tujuan siasatan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di dalam negara dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan juga di bawah Akta Pasport 1966,” katanya. – KOSMO! ONLINE