fbpx

Ali Rohingya, ‘orang kanan’ dicekup seludup PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JIM berjaya menumpaskan sindiket diketuai Ali Rohingya dalam satu operasi khas yang dijalankan di Kelantan baru-baru ini. - Foto IHSAN JIM

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) susulan penahanan Ali Rohingya di Kelantan yang merupakan dalang utama sindiket berkenaan.

Ali yang merupakan etnik Rohingya ditahan pada 24 Februari lalu berhampiran Wakaf Che Yeh selepas membawa masuk PATI warga Myanmar menerusi laluan haram di sempadan pada waktu malam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berdasarkan maklumat risikan, pihaknya mengesan sebuah kenderaan dipercayai dipandu tekong darat sebelum berhenti di sebuah stesyen minyak berhampiran Wakaf Che Yeh.

“Pasukan bertindak mengepung kenderaan suspek. Menyedari kenderaannya dihampiri pihak berkuasa, suspek bertindak memecut keretanya dan berlaku pelanggaran dengan pasukan operasi.

“Tindakan pantas anggota berjaya menahan suspek yang dikenali Ali berketurunan Rohingya dipercayai dalang utama sindiket ini,” katanya dalam kenyataan di sini tadi.

Ruslin berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta Perodua Kelisa dipandu suspek menemui tiga wanita dan seorang lelaki warga Myanmar berumur 19 hingga 21 tahun.

“Kesemua mereka dipercayai berhenti di stesyen minyak itu yang sering dijadikan lokasi menunggu bas ekspres sebelum dihantar ke Kuala Lumpur.

“Pasukan kemudian memeriksa rumah dipercayai kediaman Ali dan menemui sepucuk pistol angin,” jelasnya.

Susulan penahanan Ali, JIM turut menyerbu sebuah rumah di Pengkalan Kubor, Kota Bharu, seterusnya menangkap seorang lagi lelaki Rohingya dikenali Rahim disyaki orang kanan Ali.

JIM turut menahan empat lelaki warga Myanmar berumur 16 hingga 27 tahun dan merampas kereta Perodua Viva yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Ruslin menambah, PATI ditempatkan di rumah transit sebelum dipindahkan ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Sindiket itu dipercayai beroperasi selama enam bulan dan mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 untuk seorang PATI.

“Kesemua 10 PATI termasuk dua lelaki etnik Rohingya dipercayai tekong darat dibawa ke pejabat JIM Kelantan untuk tujuan siasatan,” katanya.

JIM percaya dengan penahanan kedua-dua tekong etnik Rohingya itu, satu lagi sindiket penyeludupan PATI yang aktif di Kelantan berjaya ditumpaskan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI