PETALING JAYA – Berbulan-bulan menunggu khabar gembira, pelakon Rozita Che Wan akhirnya menarik nafas apabila berjaya mendapatkan semula akaun Instagramnya yang selama ini hilang daripada radar.
Rozita atau nama lengkap Rozita Abu Bakar, 51, menjelaskan, penat lelahnya naik turun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan semula akaun dengan 5.1 juta pengikut tersebut kini membuahkan hasil.
“Alhamdulillah, syukur saya sudah mendapatkan Instagram saya kembali. Terima kasih SKMM, Finas yang bertungkus lumus membantu saya.
“Tidak sia-sia naik turun pejabat SKMM. Terima kasih sangat,” katanya.
Sebelum ini, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta itu kecewa apabila akaun Instagramnya digantung atas alasan tidak mematuhi garis panduan komuniti sejak 15 September lalu.
Dia mendedahkan ada menerima emel daripada pihak aplikasi agar bertindak segera membuat rayuan jika enggan kehilangan akaun sehingga 13 Mac 2024.
Sejak akaun Instagramnya digantung, anak jati Alor Setar itu tidak berputus asa berusaha dan berdoa agar urusannya dipermudah lebih-lebih platform berkenaan digunakan dalam perniagaannya. – KOSMO! ONLINE