fbpx

PTP beli enam kren dermaga ULCV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARDIMAN (kiri) bersama Fu pada majlis menandatangani perjanjian untuk membeli enam unit kren dermaga ULCV di PTP, baru-baru ini.

PETALING JAYA – Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP), syarikat usaha sama antara Kumpulan MMC dan Terminal APM, menandatangani perjanjian bersama Sany Marine Heavy Industry Co. Ltd untuk mendapatkan enam unit kren dermaga Kapal Kontena Ultra Besar (ULCV).

Perjanjian itu ditandatangani dalam majlis yang diadakan di PTP antara Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Sany Marine, Jeff Fu pada 23 Februari lalu.

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyertai perkongsian strategik dengan Sany Marine, pemain utama dalam pembuatan peralatan pelabuhan.

“Pemerolehan enam kren dermaga ULCV ini mewakili satu langkah penting ke hadapan dalam komitmen kami untuk menyediakan keupayaan dan perkhidmatan peringkat teratas kepada pelanggan.

“Kren berteknologi maju ini akan meningkatkan keupayaan kami untuk mengendalikan jumlah kargo kontena yang sentiasa bertambah dengan cekap, memastikan perdagangan yang pantas dan lancar di rantau ini,” ujarnya.

Sementara itu, Hardiman berkata, pembelian berkenaan penting dalam strategi pemodenan peralatan PTP yang lebih luas, dengan tumpuan kepada usaha mengembangkan kapasiti, menaik taraf dan menambah peralatan serta kemudahan, dan menambah baik kecekapan terminal serta aktiviti berkaitan pelabuhan untuk menjadikan PTP sebagai hab perdagangan dan perkapalan di rantau ini.

“Selain meningkatkan kapasiti, PTP juga melihat pembelian kren dermaga ULCV baharu ini sebagai peluang untuk memajukan matlamat kemampanannya.

“Kren ini dijangka akan menyumbang kepada pengurangan 45 peratus pelepasan menjelang 2030, menyokong komitmen PTP terhadap Perjanjian Paris dan operasi yang cekap.

“Kren dermaga ULCV, yang mempunyai kapasiti mengangkat 65 tan setiap satu direka untuk mengendalikan kapal kontena ultra besar generasi terkini,” ujarnya.

PTP ialah hab pemindahan penghantaran tersibuk di Malaysia dengan kapasiti untuk mengendalikan 13 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) setiap tahun. Ia kini berada dalam ranking ke-15 antara pelabuhan kontena terkemuka dunia. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI