PETALING JAYA – Kecoh di media sosial satu notis yang tular mendakwa cawangan kedai serbaneka Elews Mart milik pendakwah bebas, Ebit Lew ditutup secara berperingkat mulai 15 Januari lalu.
Notis berkenaan didakwa dikeluarkan oleh Elews Mart Sdn. Bhd. serta dikatakan ditujukan kepada pembekal premis tersebut.
“Adalah dimaklumkan bahawa Elews Mart Sdn. Bhd. akan menutup semua cawangan Elews Mart secara berperingkat bermula 15 Januari.
“Sehubungan itu, pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang kerjasama dijalankan untuk memastikan operasi cawangan kami berjalan lancar,” menurut notis tersebut yang bertarikh 15 Januari.
Bagaimanapun, tinjauan pada laman web Elews Mart Sdn. Bhd. tidak dipamerkan notis tersebut.
Dalam masa sama, Facebook dan Instagram rasmi Elews Mart juga sudah lama tidak memuat naik hantaran atau promosi baharu dengan kali terakhir ialah pada 11 September 2023.
Sementara itu, netizen turut berkongsi cawangan Elews Mart di tempat mereka didakwa telah tutup.
“Elews Mart di Seksyen 7 Bandar Baru Bangi melabuhkan tirai. Sebelum ini di Bandar Baru Bangi, ada tiga cawangan gulung tikar,” dakwa pengguna Twitter.
“Cawangan di Shah Alam pun dah tutup dua minggu lepas. Sebelum ni tak salah nampak lori dah angkut habis semua,” dakwa pengguna yang lain. – KOSMO! ONLINE