PASIR PUTEH – Penyimpanan bahan mentah yang tidak bertutup dan keadaan dapur yang tidak bersih menjadi antara punca sebanyak 12 buah kedai makan di daerah ini diarah tutup selama 14 hari bermula semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Husin berkata, arahan tersebut dikeluarkan selepas JKNK menjalankan pemeriksaan di 62 buah premis makanan menerusi Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 02/2024.
Menurutnya, operasi itu dijalankan di premis-premis makanan yang menjadi tumpuan orang ramai di sekitar bandar Pasir Puteh, sempadan Pasir Puteh-Terengganu, jalan-jalan utama Pasir Puteh hingga ke sempadan Pasir Puteh- Kota Bharu di sini.
“Sebanyak 12 buah premis didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang telah ditetapkan JKNK apabila keadaan dapur yang tidak bersih boleh mengundang pencemaran terhadap makanan yang dihasilkan.
“Selain itu, premis-premis terbabit juga didapati menyimpan bahan mentah yang padat dan tidak bertutup boleh menjadi punca pencemaran silang selain suhu penyimpanan tidak mencapai standard ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaini memberitahu, kesemua premis tersebut diarahkan untuk ditutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Menurutnya, selain itu, sebanyak 89 Notis Seksyen 32B Memerintahkan Kehadiran di Mahkamah turut dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting tahap kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.
“Sekiranya masih tidak mematuhi arahan tindakan pembetulan pada lawatan ke berikutnya, arahan penutupan premis akan dijalankan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983,” ujarnya.
Tambah Zaini, sehubungan itu, orang ramai khususnya yang mengunjungi gerai makanan di seluruh Kelantan disarankan untuk memilih premis makanan yang bersih ketika makan di luar. – KOSMO! ONLINE