KUALA LUMPUR – Hampir 100 peserta #Reformasi100Peratus dilihat berkumpul di Plaza Tugu Negara untuk berarak ke bangunan Parlimen bagi mendesak kerajaan menunaikan janji untuk melaksanakan 100 peratus pembaharuan.
Tinjauan Kosmo! mendapati para peserta mula berkumpul seawal 7.30 pagi tadi dan rata-rata mereka mengenakan baju hitam dan kuning.
Perhimpunan yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mula berarak ke bangunan Parlimen sekitar pukul 8.30 dengan iringan kira-kira 100 anggota polis yang mengawal ketat kawasan sekitar.
Sehubungan itu, perhimpunan ini turut dihadiri Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz seterusnya, dua wakil kerajaan dari PKR iaitu ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dan ahli Parlimen Selayang, William Leong hadir untuk menerima memorandum berkenaan.
Terdahulu media melaporkan gabungan itu menuntut kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menambah baik perlindungan terhadap pemberi maklumat dan membuka akses terhadap maklumat kerajaan.
Selain itu, perhimpunan ini juga menggesa kerajaan agar menetapkan had tempoh jawatan Perdana Menteri seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).
Kerajaan juga dituntut memansuhkan Akta Hasutan selaras dengan janji pilihan raya PH untuk menyemak semula dan memansuhkan undang-undang yang dilihat zalim. -KOSMO! ONLINE