WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyatakan bahawa Israel bersetuju untuk menghentikan serangannya di Gaza semasa bulan Ramadan sekiranya perjanjian gencatan senjata berjaya dicapai.
“Ramadan akan tiba dan Israel menyatakan mereka tidak akan melakukan aktiviti (ketenteraan) semasa bulan tersebut untuk memberi masa bagi membebaskan semua tebusan,” kata Biden semasa program bual bicara Late Night with Seth Meyers di rangkaian televisyen NBC.
Beliau sebelum itu menyatakan harapan agar gencatan senjata antara Israel dengan Hamas akan dimeterai menjelang Isnin depan.
Ujar Biden, penasihat keselamatan AS memberitahunya bahawa persetujuan berhubung gencatan senjata itu sudah semakin hampir.
“Kami sudah semakin hampir, namun ia belum selesai. Harapan saya adalah menjelang Isnin depan, kita akan mencapai gencatan senjata,” jelasnya. – AFP