fbpx

Syarikat pengendali umrah, dua pengarah didakwa gagal patuh award TTPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKARNAIN Endut (kanan) hadir ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini -Foto MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Sebuah syarikat pengendali pakej umrah bersama dua orang pengarahnya yang juga suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Seremban di sini hari atas 51 pertuduhan gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) iaitu membayar balik tuntutan wang berjumlah RM473,730 kepada 17 orang mangsa.

Syarikat berkenaan Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd diwakili dua pengarahnya iaitu Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan isterinya Datin Mazuin Mustafa, 43 bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Noor Hafiza Ishak.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. sebagai sebuah syarikat bersama Zulkarnain dan Mazuin masing-masing berdepan 17 pertuduhan kerana gagal mematuhi award TTPM berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), KPDN Negeri Sembilan, No. D9, Tingkat 2, Bangunan Akhma, Persiaran Utama S2-1, di sini, antara 29 Mei hingga 13 September 2023.

Pendakwaan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Shafiq Mahadi dan Suhana Mohd. memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadap setiap Orang Kena Saman (OKS) dengan seorang penjamin.

“Kes ini membabitkan 17 mangsa yang berniat menunaikan ibadah umrah. OKS juga turut berdepan kes yang sama di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak,” kata Suhana.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Hanif Hassan, memohon jaminan dikurangkan bagi setiap satu pertuduhan memandangkan jumlah ditawarkan bagi setiap OKS adalah sangat tinggi.

“Anak guam saya mengalami masalah kewangan amat serius dan tidak boleh menjalankan operasi perniagaan selain lesen umrah serta pelancongan juga telah ditarik.

“Mereka juga sedang berusaha membayar semula semua wang kepada mangsa. Saya bermohon mahkamah membenarkan wang jaminan yang sangat rendah,”katanya.

Noor Hafiza kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM500 bagi setiap pertuduhan ke atas kedua-dua OKS dikenakan iaitu bersamaan RM17,000 secara global dengan seorang penjamin.

Majistret turut menetapkan tarikh 25 April depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI