fbpx

Ramai pekerja tinggal di penempatan daif, panas, sempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan penempatan asrama yang diubahsuai dalam sebuah kafe sebuah kilang perabot sekitar Olak Lempit, Kuala Langat, hari ini. -Foto SADDAM YUSOFF

KUALA LANGAT – Nasib pekerja asing di negara ini masih terabai apabila lebih 400,000 pekerja dilaporkan tinggal di penempatan yang tidak kondusif dan selamat.

Malah hasil Operasi Gegar Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pukul 11.30 pagi di kilang papan, kilang perabot dan kilang besi di Olak Lempit mendapati penempatan mereka begitu daif dan sempit.

Tinjauan Kosmo! mendapati ada sebuah kafe diubah suai menjadi ‘dorm’ dengan katil diperbuat daripada almari dan dipasang kelambu nyamuk.

Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi berkata, keadaan ini menunjukkan tahap kesedaran majikan masih rendah apabila mereka dilihat lebih mementingkan keuntungan berbanding menjaga kebajikan pekerja.

Berdasarkan rekod terdapat 595,000 pekerja asing berdaftar di bawah Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Selangor.

Keadaan penempatan pekerja asing ketika Operasi Bersepadu Mega Gegar Buruh Paksa dan Pemerdagangan Orang (Ops Gegar) di Olak Lempit, Kuala Langat hari ini. FOTO Saddam Yusoff

“Daripada jumlah itu, cma 140,000 pekerja asing tinggal di penempatan yang mempunyai perakuan JTKSM.

“Ini bererti lebih 400,000 pekerja belum mendapat tempat tinggal sewajarnya.

“Kita lihat perumahan pekerja yang disediakan sangat panas dan bersesak. Saya ada bertanya kepada pekerja, mereka mengakui sebahagian peralatan dibeli sendiri seperti tilam, katil dan kipas.

“Kalau ikut undang-undang, perkara ini wajib disediakan oleh majikan,” katanya ketika ditemui pada operasi tersebut.

Pekerja asing yang tinggal di kawasan kilang ketika Operasi Bersepadu Mega Gegar Buruh Paksa dan Pemerdagangan Orang (Ops Gegar) di Olak Lempit,Kuala Langat hari ini. FOTO Saddam Yusoff

Beliau menambah, keadaan ini membuktikan masih ada majikan yang ingkar meskipun hebahan dan seminar sudah dianjurkan kepada kumpulan tersebut.

“Walaupun mereka bukan rakyat tempatan, namun apabila digajikan sepatutnya kebajikan mereka dijaga. Mereka juga menyumbang produktiviti syarikat.

“Kalau tidak diberikan kemudahan seperti tempat tidur dengan selesa bagaimana hendak bekerja dengan sebaiknya setiap hari,” ujarnya.

Justeru, Kamal menegaskan pihaknya mahu situasi menang-menang diwujudkan dengan majikan memperoleh keuntungan dan produktiviti pekerja tidak terjejas susulan isu ini.

“Di Selangor, saya difahamkan masih ada kekosongan bagi kuarters pekerja berpusat (CLQ) dengan majikan digalakkan menggunakan kemudahan tersebut.

“Selain itu, hasil operasi ini kita juga melihat ada pekerja yang mendapat gaji RM1,400 bawah paras gaji minimum.

“Kertas siasatan akan dibuka dengan notis pematuhan akan diberikan kepada majikan. Operasi ini akan diteruskan di seluruh Semenanjung serta Wilayah Persekutuan Labuan bagi meninjau tahap kebajikan pekerja,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI