HANOI – Sebatang pokok oak emas yang dipercayai berusia lebih 250 tahun masih ‘berdiri gagah’ walaupun terdapat beberapa kesan ia cuba ditebang, lapor laman berita VNExpress semalam.
Pokok berukuran lebih 4 meter lebar dan 35 meter tinggi itu berada di Kampung Pring, Ngoc Tu.
Ia berada di bawah pengurusan Syarikat Dak To Forestry, manakala tiga kesan tebang boleh dilihat pada batangnya.
“Lewat tahun lalu, penduduk, pihak berkuasa, syarikat perhutanan dan wakil enam komuniti menandatangani perjanjian untuk melindungi hutan di sekitar pokok oak emas itu,” kata Ketua Kampung, A Nao.
Lelaki itu telah tinggal berhampiran hutan tersebut selama berpuluh-puluh tahun tetapi menurutnya, dia tidak tahu bila atau bagaimana kesan tebang boleh muncul pada pokok tersebut.
Sementara itu, Pengarah Syarikat Dak To Forestry, Nguyen Thanh Chung berkata, beberapa pekerja telah cuba menebang pokok tua itu lebih 30 tahun lalu.
Namun, mereka terpaksa menghentikan usaha itu separuh jalan selepas menyedari ia terlalu besar untuk dibawa keluar dari hutan. – AGENSI