PEMINAT bola sepak negara sekali menggunakan kuasa mereka apabila berjaya menobatkan pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim sebagai pemenang bagi Anugerah Jaringan Terbaik Piala Asia 2023.
Keputusan undian akhir menyaksikan Faisal atau Mickey mengutip 85 peratus undian dan jauh meninggalkan tujuh lagi pencabar lain selain menyaksikan Abdulrahman Ghareeb dari Arab Saudi, Keito Nakamura (Jepun), Hassan Al Haydos (Qatar) tidak mendapat sebarang markah.
Kejayaan ini pastinya sedikit mengubat kekecewaan selepas cabaran Harimau Malaya tersekat di peringkat kumpulan pada kejohanan tersebut yang berakhir awal bulan ini selepas mencatat dua kekalahan satu keputusan seri.
“Alhamdulillah, sebagai seorang pemain memang amat teruja dan bangga. Tidak sangka sebenarnya, (saya) bukan nama besar tetapi tersenarai pun sudah cukup besar.
“Ini pun hasil (bantuan) rakan sepasukan dan saya perlu berterima kasih kepada mereka. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang undi saya,” katanya.
Jaringan Mickey itu terhasil selepas bintang Selangor itu pamer ketenangan untuk memperdaya bintang Korea Selatan dan Bayern Munich, Kim Min-jae sekaligus menyaksikan perlawanan terakhir Kumpulan E, 25 Januari lalu berakhir seri 3-3.
Penyerang Jordan, Mousa Al Tamari meraih sembilan peratus undian, Son Heung-min (Korea Selatan) tiga peratus, manakala Supachok Sarachat (Thailand) dan Sardar Azmoun (Iran) meraih satu peratus.