PARIS – Kegagalan Paris Saint-Germain untuk mencatat kemenangan ke atas Rennes apabila terikat 1-1 pada saingan Ligue 1 awal pagi semalam dianggap mengejutkan, namun masih ada satu lagi isu kontroversi yang lebih hangat pada perlawanan tersebut.
Ia melibatkan keputusan pengendali pasukan itu, Luis Enrique yang mengeluarkan bintang sensasi mereka, Kylian Mbappe pada minit ke-65 yang dianggap mengejutkan ketika PSG sedang memburu gol penyamaan.
Bagaimanapun, Enrique pastinya cukup lega apabila keputusan tersebut berhasil apabila pemain yang dimasukkan menggantikan Mbappe, Goncalo Ramos berjaya meledak gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada hujung masa kecederaan.
Keputusan Enrique mengeluarkan Mbappe juga dikaitkan dengan keputusan pemain itu untuk meninggalkan Parc Des Princes selepas kontraknya berakhir hujung musim ini.
“Ia bukan perkara yang sukar, cepat atau lambat ia akan berlaku. Kami perlu membiasakan diri bermain tanpa kelibat Kylian.
“Apabila saya inginkan dia bermain, saya akan gunakannya dan perkara sama juga apabila saya fikir ada pemain lain yang mampu menggantikannya,” kata Enrique.
Ketumpulan jentera serangan membangkitkan kemarahan Enrique apabila beliau merombak jentera serangan pasukan itu selepas sejam perlawanan dengan turut mengeluarkan Ousmane Dembele dan Bradley Barcola. – AGENSI