KOTA BHARU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantau beberapa aplikasi al-Quran dalam talian yang dibangunkan oleh pembangun aplikasi tempatan yang didapati tidak mendapat perakuan.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, pihaknya mendapati banyak aplikasi al-Quran dibangunkan dan boleh dimuat turun oleh pengguna menerusi telefon pintar masing-masing.
Tegasnya, jika aplikasi itu tidak mempunyai perakuan KDN, ini bermakna ayat-ayat al-Quran yang digunakan tidak melalui proses semakan oleh Lajnah Tashih Al-Quran Malaysia.
“Mengikut Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 (Pindaan) 2023, setiap penerbitan al-Quran dalam pelbagai bentuk yang mengandungi satu juzuk ayat atau lebih perlu mendapat perakuan KDN.
“Apabila tidak disemak, kita bimbang ayatnya mengandungi kesilapan dan kesalahan tulisan, bacaan, bunyi bacaan atau bacaan secara audio,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KDN Kelantan, di sini hari ini.
Nik Yusaimi memberitahu, KDN mewujudkan Garis Panduan Penerbitan Al-Quran sebagai panduan kepada penyedia aplikasi yang membangunkan aplikasi al-Quran dalam talian.
Menurutnya, garis panduan itu menerangkan bahawa syarikat perlu dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam selain berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Nik Yusaimi memberitahu, sehingga kini, hanya Smart Quran yang dibangunkan dengan kerjasama KDN, Jakim dan MCMC merupakan satu-satunya aplikasi al-Quran dalam talian yang diperakui selain terbukti kesahihannya untuk diguna pakai oleh masyarakat Islam di negara ini.- KOSMO! ONLINE