SAINGAN Liga Hoki Malaysia (MHL) semakin hampir ke penghujung dengan tiga pasukan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) bersaing merebut takhta kejuaraan.
Bagaimanapun, TNB memiliki peluang cukup besar untuk memenangi liga berdasarkan kedudukan selaku pendahulu saingan selain memiliki perbezaan jaringan cukup besar ke atas dua pasukan pencabar berkenaan.
TNB dijangka tiada masalah untuk mengutip tiga mata penuh apabila turun menentang pasukan tangga tercorot, JM Antsbees di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini, manakala Maybank dan THT bertemu sesama sendiri dalam aksi terakhir.
Ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menegaskan, barisan pemainnya akan turun dengan fokus mendapatkan tiga mata selain tidak akan memandang rendah kemampuan lawan.
“Jika dilihat kepada kedudukan sekarang, peluang untuk TNB menjadi juara liga terbuka sangat luas. Kalau mengikut perkiraan, kami akan dinobatkan sebagai juara sekiranya menang perlawanan terakhir nanti.
“Justeru, kami tidak perlu lagi untuk melihat keputusan perlawanan antara Maybank dan THT. Kalau dilihat dari segi jaringan, kami memiliki kelebihan, jadi fokus utama nanti adalah mengutip tiga mata,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ketika ini, ketiga-tiga pencabar takhta liga itu berkongsi 23 mata, namun apa yang membezakan TNB dengan Maybank dan THT adalah perbezaan jaringan.
Mengulas lanjut, beliau yang juga legenda hoki tanah air menjelaskan, TNB akan mengekalkan corak permainan sama seperti sebelum ini, iaitu bermain secara menyerang dan cuba melakukan jaringan besar.
“Kalau anda semua nampak, kami bermain dengan corak permainan yang sama dalam setiap perlawanan. Dalam liga, kami tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan kerana apa yang penting adalah tiga mata.
“Oleh itu, kami akan kekal dengan corak permainan menyerang dan cuba jaringkan sebanyak gol yang mungkin. Saya percaya dengan kemampuan pasukan yang rata-rata dibarisi pemain kebangsaan, remaja dan antarabangsa,” ujar Nor Saiful.