SEPANG – Dua lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan bergaduh di tempat awam dalam kejadian di Kampung Baru, Dengkil pada 17 Februari lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh iaitu Teo Chit Keong, 44, Thew Gan Lee, 60, didakwa melakukan gaduh gempar dan bertindak agresif antara satu sama lain di tempat awam.
Mereka didapati melakukan perkara itu di hadapan sebuah rumah di No. 9, Kampung Baru, Dengkil kira-kira pukul 10.15 malam.
Selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan, kedua-dua tertuduh mengangguk faham sebelum Gan Lee mengaku bersalah, manakala Chit Keong mengaku tidak bersalah.
Pendakwaan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Muhammad Bukhori kemudian menetapkan Gan Lee didenda RM700 dan Chit Keong pula ditetapkan wang jaminan RM1,000 dengan seorang jaminan dan kes disebut semula pada 22 April depan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 14 individu ditahan selepas terbabit insiden pergaduhan pada malam malam sambutan Pai Ti Kong sempena Tahun Baharu Cina, pada 17 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE