PETALING JAYA – “Sudahlah memandu di lorong kecemasan. Selepas dihalang kenderaan lain, ajak bergaduh pula,”
Begitulah kata seorang lelaki di dalam sebuah video berdurasi 50 saat yang tular di aplikasi X, hari ini.
Menurut hantaran Ceo Of Expose, pemandu Toyota Vios di dalam video tersebut difahamkan telah menggunakan lorong kecemasan ketika jalan raya sedang sesak dan dipenuhi kenderaan lain.
Bagaimanapun, pemandu tersebut berang dan mula menghimpit kenderaan lain setelah laluannya dihalang oleh pengguna jalan raya.
“Sebab itulah abang yang bawa Proton Saga halang kenderaan tersebut. Padahal, pihak lebuh raya tidak membuka sebarang lorong ‘SmartLane’ pada waktu itu.
“Sudah cukup lorong yang ada cuma jalan sedikit sesak. Tetapi, sebab tidak sabar, sanggup guna lorong kecemasan,” jelasnya.
Berdasarkan video tersebut, kejadian dipercayai berlaku sekitar kawasan Pedas-Linggi di Lebuh Raya Utara-Selatan.
“Saya harap pihak polis boleh ambil tindakan sewajarnya ke atas pemandu sebegini,” katanya dalam video sama.
Setakat ini, hantaran tersebut telah menerima 2,100 tanda suka dan 288,000 tontonan. – KOSMO! ONLINE
Salam @PDRMsia
VFN8112 Toyota Vios Putih Samseng Jalanan ⚠️ pic.twitter.com/9eegB3SCrY
— CEO OF EXPOSE (@druglordfxdl) February 25, 2024