PUTRAJAYA – Pelakon Anna Jobling tidak menyangka kunjungan ke Brunei bertemu peminat membolehkannya bertentang mata dengan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
Kata Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, Puteri Ameerah berkenan bertemu dengannya dan berborak panjang ketika mereka bertemu di sebuah hotel di sana, baru-baru ini.
“Sejujurnya saya terkejut apabila dimaklumkan Puteri Ameerah kenal saya dan mahu berjumpa saya. Apabila Puteri Ameerah sampai di lokasi acara, terus saja peluk peluk saya.
“Terharu dan rasa teruja sebab bukan senang nak jumpa Princess (panggilan buat Puteri Ameerah), kiranya saya bertuah dapat kesempatan bertemu Puteri Ameerah.
“Boleh dikatakan lama juga kami habiskan masa berdua berbua isu ‘girl talk’, lebih kurang dua jam, memang rezeki saya dapat peluang sebegini,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Gempak Most Wanted 2023 (GMWA23), malam tadi.
Menutup pelakon Melur Untuk Firdaus itu lagi, Puteri Ameerah turut mengakui mengikuti perkembangan, selain menonton drama lakonannya.
“Princess ada maklumkan tengok drama saya, tapi saya tak tanya yang mana satu, malah Puteri Ameerah kata minat lakonan saya. Sebelum itu saya ada tanya macam mana kenal Anna.
“Itu yang Puteri Ameerah dedahkan pasal banyak tonton drama saya. Terharu rasanya sebab saya pun memang ikuti perkembangannya menerusi media sosial,” ujarnya.
Anna, 23, yang dinobatkan sebagai penerima trofi utama Gempak Most Wanted mengakui puteri berusia 16 tahun itu berpersonaliti menarik dan sangat tertib.
Malah, dia juga menyifatkan komen netizen yang menganggap wajah mereka seiras menerusi sebuah gambar dikongsikan dalam Instagram sebelum ini sebagai satu pujian bermakna.
“Apabila berdepan dengan seorang puteri sepertinya kita boleh tengok cara serta tertib tuanku puteri berbual sehingga cara jalan dan duduk.
“Aura positif yang dibawa ‘princess’ memang dapat dirasakan dan apabila ada yang menyamakan wajah kami, itu satu pujian besar.
“Ketika berjumpanya tempoh hari memang dua minit juga kami saling berpandangan untuk tengok persamaan yang diperkatakan ramai. Mungkin pada bibir,” tambahnya.
Sebelum ini Anna memuat naik gambar dengan Puteri Ameerah dalam Instagram yang mencetuskan tanda tanya ramai terhadap kunjungan ke negara itu.
Sementara itu, Brunei antara destinasi persinggahan Anna atau Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman bagi siri jelajah bertemu peminat, sekali gus sebagai tanda penghargaan atas sokongan ramai.
Selepas ini, pelakon yang memancing hati ramai sejak terjun ke arena hiburan lima tahun lalu dijadualkan ke Singapura dan Indonesia bagi melengkapkan misi tersebut. – KOSMO! ONLINE