fbpx

Peniaga belut maut, gerai dirempuh kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rohaya menunjukkan gambar arwah suaminya yang maut selepas dirempuh sebuah kereta semasa berniaga di premis jualan belut di Kampung Padang Licin, Rantau Panjang hari ini FOTO ROHANA ISMAIL/ KOSMO!

RANTAU PANJANG – Seorang peniaga belut maut selepas gerainya di Kampung Padang Licin, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di sini dirempuh sebuah kereta, petang tadi.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, mangsa, Mohd. Arif Said, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan pada beberapa bahagian anggota badan.

Isteri mangsa, Rohaya Abdullah, 45, berkata, arwah suaminya sedang berniaga sebelum sebuah kereta jenis Perodua Viva terbabas dan merempuh gerai jualan.

“Saya pada awalnya fikir arwah terlibat dalam kemalangan biasa dan sempat singgah di premisnya selepas nahas berlaku.

“Semasa tiba di hospital, saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa suami sudah meninggal dunia,” katanya ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik, Hospital Pasir Mas, di sini hari ini.

Rohaya memberitahu, kali terakhir dia berbual dengan suaminya pada waktu tengah hari semasa bersiap untuk pergi berniaga.

Katanya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan kelakuan kecuali suaminya berubah menjadi pendiam.

“Semasa saya mengajaknya untuk membeli pakaian sekolah anak-anak, dia hanya berdiam diri. Sebelum ini, suami antara yang paling teruja setiap kali membeli pakaian sekolah anak,” ujarnya.

Rohaya berkata, gerai milik suami itu pernah nyaris dirempuh kenderaan tiga bulan lalu, namun arwah sempat mengelak.

Menurutnya, jenazah arwah suaminya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Sangkut di sini esok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI