JAKARTA – Beberapa kenderaan dilaporkan rosak di sebuah stesen minyak di wilayah Sumatera Utara, gara-gara pekerjanya tersilap mengisi minyak diesel, lapor portal berita Detik hari ini.
Video kejadian dirakam seorang wanita di sebuah stesen minyak di Daerah Deli Serdang. Terdapat beberapa pemandu lain berhampiran wanita itu.
“Nasib saya, pagi-pagi tersilap isi minyak. Semua ini mangsa. Kenderaan rosak teruk selepas isi minyak,” kata wanita itu.
Seorang pemandu bernama Hendri berkata, dia mengisi minyak di stesen minyak tersebut sekitar pukul 7.30 pagi (waktu tempatan) pagi tadi. Selepas memandu sejauh 100 meter, motosikalnya tiba-tiba mati.
Setelah membawa motosikalnya ke sebuah kedai, dia diberitahu bahawa kerosakan itu berlaku kerana kesilapan mengisi minyak diesel. Kesilapan itu juga berlaku kepada beberapa pemandu lain.
Pihak pengurusan stesen minyak tersebut kemudian bersetuju untuk membaiki semua motosikal yang rosak. – AGENSI