KUALA LUMPUR – Penyanyi Indonesia, Melly Goeslaw enggan ‘pusing’ dengan tanggapan segelintir pihak yang mempertikai trofi Hall Of Fame dimenanginya pada acara Gempak Most Wanted Awards 2023 (GMWA23).
Kata Melly atau nama sebenarnya, Melliana Cessy Goeslaw, 50, dia menghargai setiap komen daripada khalayak meskipun yang berkonotasi negatif.
“Saya kurang tertarik untuk berfikir mengenai perkara itu (kecaman). Menurut saya secara peribadi, saya sangat terbuka. Saya membuka diri untuk perkara baharu dan benda berbeza dari orang lain.
“Hal ini kerana, saya juga harus menghargai perbezaan pendapat. Di Indonesia, ada juga beberapa anugerah yang diberikan kepada artis luar negara termasuklah Malaysia, Singapura, Filipina dan sebagainya.
“Keterbukaan di semua tempat harus diraikan untuk kita dapat berekspresi lebih luas lagi,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang akhbar Ada Apa Dengan Melly & Friends.
Dalam masa sama, penyanyi yang digelar Queen Of Soundtracks itu tidak obses untuk membaca semua komen yang dilontarkan kepada sebaliknya, hanya fokus kepada kerjaya.
“Saya tidak baca komen dan hanya berkarya sahaja. Apa yang pasti dalam kehidupan ini, saya boleh kawal apa yang keluar dari diri saya baik dari segi kehidupan, kerjaya dan lain-lain.
“Namun, orang lain kita tidak boleh kawal. Pada saya, selama apa yang saya lakukan itu benar dan memberi inspirasi kepada ramai orang, insya-Allah akan datang perkara yang baik juga,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Melly bakal mengadakan konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends yang dianjurkan Icon Entertainment dan AKE Group berlangsung pada 1 Jun depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Semalam, Melly dikecam hebat peminat kerana ramai yang tidak berpuas hati dengan kemenangan diraih pada GMWA23.
Ada yang berpendapat, ramai artis tempatan yang lebih layak menggengam trofi berkenaan berbanding dirinya. – KOSMO! ONLINE