KAJANG – Lima lelaki yang disyaki terlibat dalam kes memukul dan mengikat seorang lelaki sehingga maut selepas terbabit kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2 pada 20 Februari lalu, akan dituduh esok.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kesemua suspek lelaki berusia 22 hingga 52 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kelima-lima suspek akan dituduh esok pagi (27 Februari) di Mahkamah Bandar Baru Bangi, di sini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis menerima maklumat mengenai satu kemalangan pada pukul 9.20 malam, sebelum anggota trafik di kejarkan ke situ dan menjumpai sebuah kereta Proton Saga dipercayai terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan di situ.
Setibanya di lokasi kejadian, seorang lelaki ditemui tidak bernyawa dalam keadaan terbaring atas jalan dan terdapat kesan pergelangan tangan seperti diikat.
Susulan itu, pihak polis menahan lima lelaki berusia 22 hingga 52 tahun bagi membantu siasatan pada 21 Februari lalu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata mangsa berusia 42 tahun itu juga didapati memiliki 10 rekod dadah dan dikehendaki berkaitan bahan terlarang berkenaan.
Pihaknya turut menahan dua lagi lelaki masing-masing berusia 22 dan 39 tahun di Kajang pada 22 Februari lalu yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
Mengulas lanjut, Hussein berkata motif kejadian masih disiasat selepas bedah siasat mendapati tiada kecederaan ketara pada mangsa yang menyebabkan kematian.– KOSMO! ONLINE.