LONDON – Liverpool melengkapkan perjalanan pertama mereka dalam misi memburu empat piala musim ini selepas merangkul trofi Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi tadi.
Kejayaan itu hadir selepas skuad kendalian Jurgen Klopp itu berjaya menumbangkan Chelsea 1-0 pada aksi final yang berlangsung di Wembley.
Bagaimanapun, The Reds terpaksa menunggu sehingga penghujung masa tambahan untuk mengesahkan kemenangan selepas pemain pertahanan, Virgil Van Dijk meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-118 untuk mereka membawa pulang kejuaraan.
Kejayaan itu juga menyaksikan Klopp menjulang trofi ke-10 sepanjang kariernya di Anfield, namun kali ini lebih istimewa apabila pasukan itu berdepan isu kecederaan ramai pemain tonggak.
Klopp terpaksa menyenaraikan lima pemain berusia di bawah 20 tahun yang tidak memiliki pengalaman beraksi di pentas tertinggi dan purata umur keseluruhan pemain yang beraksi pada perlawanan final itu adalah di bawah 22 tahun.
“Apa yang berlaku ini adalah gila, tetapi kami membuktikan bahawa semua perkara tidak ada yang mustahil.
“Pasukan ini sama ada pemain senior ataupun pemain muda memiliki karakter. Saya bangga menjadi sebahagian daripada mereka kali ini,” kata Klopp. – KOSMO! ONLINE