ISLAMABAD, Pakistan – Satu perbalahan kecil antara kanak-kanak semasa mereka menyertai perarakan perkahwinan di bandar Khanewal bertukar menjadi konfrontasi ganas melibatkan orang dewasa.
Saluran berita 24 Digital melaporkan, pergaduhan pada awalnya tercetus dalam kalangan kanak-kanak ketika mereka mengutip wang yang diberikan oleh saudara-mara dan rakan-rakan pengantin semasa perarakan perkahwinan berlangsung semalam.
Apabila pertengkaran menjadi lebih serius, tetamu dewasa terlibat sama. Keadaan bertukar tegang dengan beberapa tetamu diserang dan cedera ditikam.
Dalam sebuah rakaman video insiden berkenaan, sebilangan tetamu dilihat menyerang antara satu sama lain.
Pihak pengurusan dewan perkahwinan terpaksa mendapatkan bantuan polis apabila pergaduhan menjadi lebih buruk.
Polis kemudian berjaya mengawal keadaan, manakala beberapa tetamu yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan. – AGENSI