PETALING JAYA – Seperti dijangka, Malaysia memiliki ‘kuasa veto’ untuk menentukan pemenang menerusi undian apabila jaringan pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim diangkat sebagai Jaringan Terbaik Piala Asia 2023.
Keputusan undian akhir menyaksikan Faisal atau Mickey mengutip 85 peratus, jauh meninggalkan tujuh lagi pencabar lain, menyaksikan Abdulrahman Ghareeb dari Arab Saudi, Keito Nakamura (Jepun), Hassan Al Haydos (Qatar) tidak mendapat sebarang peratusan.
Kejayaan ini pastinya sedikit mengubat kekecewaan penyokong negara yang tidak mampu untuk menyaksikan Harimau Malaya mara lebih jauh selepas terkandas di peringkat kumpulan.
Jaringan Mickey itu terhasil selepas bintang Selangor itu pamer ketenangan untuk memperdaya tonggak pertahanan Korea Selatan, Kim Min-jae untuk mengesahkan keputusan seri 3-3 dengan Taeguk Warriors, 25 Januari lalu.
Penyerang Jordan, Mousa Al Tamari mencatatkan sembilan peratus, Son Heung-min (Korea Selaan), tiga peratus manakala Supachok Sarachat (Thailand) dan Sardar Azmoun (Iran) meraih satu peratus. – KOSMO! ONLINE