fbpx

Intan Najuwa minat sukan berkuda sebab suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INTAN Najuwa mendedahkan , setakat ini sudah memiliki lima ekor kuda yang dihadiahkan suami tercinta.

KUALA LUMPUR – Masih belum berada di tahap profesional, pelakon Datin Intan Najuwa mengakui masih berjinak-jinak dalam sukan berkuda sejak mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman.

Intan atau nama penuhnya, Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, berkata, aktiviti menyihatkan badan tersebut dilakukannya dua hingga tiga kali seminggu sebagai rutin riadah mengeluarkan peluh.

“Alhamdulillah saya aktif berkuda sejak berkahwin. Sebenarnya suami saya lebih aktif, kadang-kadang saya akan sertai sekali kalau rasa bosan.

“Hendak kata aktif, okeylah seminggu dua tiga kali. Boleh keluarkan peluh dan menghargai hadiah kuda yang diberikan suami,” katanya kepada Kosmo! Online pada malam kemuncak Anugerah Telenovela di sini, baru-baru ini.

Dramatis yang popular menerusi drama Kekasih Paksa Rela berkata, rutin kehidupannya juga berubah sejak berkahwin yang tidak lagi hanya tertumpu terhadap kerjaya dan pengajian sahaja.

“Sebenarnya selepas berkahwin baru saya belajar tentang sukan kuda ini.

“Sebelum kahwin buat apa? Asyik bekerja. Kerja dan belajar sahaja rutin sebelum kahwin, macam robot.

“Selepas berkahwin, jadual hidup semakin longgar jadi, ada masa untuk lakukan aktiviti yang sihat,” ujarnya.

Tambahnya yang sudah memiliki lima ekor kuda, aktiviti sukan tersebut juga dilihat mampu mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

“Sekarang saya sudah ada lima ekor kuda. Semua kuda itu ada pasport sendiri.

“Pada awalnya sebagai hobi tetapi lama-kelamaan menjadi minat dan dapat luangkan masa bersama suami.

“Aktiviti ini juga bagus untuk kesihatan mental dan hubungan suami isteri termasuk merapatkan kami, bangun pagi, pergi sarapan kemudian lakukan sukan berkuda ini bersama,” katanya lagi yang belum pernah mengalami kecedereaan sepanjang melakukan aktiviti berkuda.

Intan bagaimanapun enggan mendedahkan harga setiap kuda yang dimiliki.

Sebelum ini, sekitar September tahun lalu, Intan pernah membuat perkongsian terbuka apabila menerima hadiah seekor kuda berwarna putih daripada Ahmad Azraf sempena ulang tahun kelahiranya yang ke-26.

Dia bagaimanapun mengakui tidak pandai menunggang kuda dan menganggap hadiah tersebut adalah untuk menggalakkannya untuk melakukan aktiviti riadah berkuda.

Sejak mendirikan rumah tangga pada 18 Ogos 2023 di sebuah resort di Desaru, Johor, Intan sering menjadi sorotan orang ramai, terutama kerap dimanjakan dengan kehidupan mewah oleh suaminya.

Ada yang mengecam perkongsian kemewahan yang dilakukan, bagaimanapun sebahagian lain berasakan pelakon genit itu layak memiliki kemewahan daripada suami kerana memiliki pakej lengkap iaitu cantik, bijak dan pandai menguruskan rumah tangga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI