fbpx

F1 ‘Sang Rimba’ bukti kemampuan pelajar luar bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan Energeteen yang memenangi F1 in Schools peringkat kebangsaan yang diadakan di UiTM Shah Alam. FOTO: AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Kecekalan enam pelajar sebuah sekolah luar bandar membangunkan model kereta Formula 1 dikenali ‘Sang Rimba’ menuai hasil apabila diumumkan sebagai juara kebangsaan dalam pertandingan ‘National Final F1 in Schools’ hari ini.

Lebih manis, Pasukan Energeteen dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Undang Musa Al Haj dari Negeri Sembilan itu dijangka menyertai World Final F1 in Schools yang dijadualkan berlangsung pada November tahun ini.

Pasukan dianggotai Aqif Zafran Lubis Khalid Lubis, Aisy Darwish Abdul Razak, Airys Darwisha Abdul Razak, Sasitrra Devi Gopinathan, Nur Nabilah Huda Mohd. Izwan dan Nur Qistina Fatihi Muhammad Taufik yang semuanya berusia 17 tahun itu membawa pulang piala pusingan dan sijil.

Menurut ketua pasukan, Aqif Zafran, pelbagai penat lelah dilalui mereka sepanjang enam bulan pembangunan model tersebut termasuk pulang selewat pukuk 2 pagi.

Katanya, mereka mengabungkan segala ilmu dikongsi dan dipelajari agar ‘Sang Rimba’ mempunyai ciri yang aerodinamik, stabil serta ringan.

“Tambah pula, kami berada di luar bandar, jauh dengan pakar dan profesional dalam kejuruteraan berkaitan kereta lumba atau F1 untuk dijadikan rujukan.

“Jadi, kami pergi institusi pengajian tinggi (IPT) jauh dari sekolah untuk dapatkan pandangan profesional,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan F1 in Schools peringkat kebangsaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

SMK Dato’ Undang Musa Al Haj turut memenangi tempat kedua kategori Knockout serta menerima Anugerah ‘Scrutineering’ dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang disertai 40 pasukan.

Sementara itu, guru penasihat pasukan tersebut, Mohd. Faizal Mohd. Derus berkata, pihaknya mendapat sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) selain pemimpin serta komuniti setempat.

“Kami sanggup ‘menuntut ilmu’ sehingga ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk belajar tentang kereta F1.

“Jadi, kepakaran yang ada di setiap universiti terbabit dijadikan rujukan terhadap model dihasilkan agar menepati ciri-ciri kejuteraannya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI