fbpx

ACC 2024: Izzah sambar emas kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZZAH (tengah) mengekalkan aksi konsisten pada ACC 2024 selepas memenangi pingat emas acara 500m ujian masa di New Delhi, India sebentar tadi.

PETALING JAYA – Atlet berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri meneruskan aksi memukau pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India selepas meraih pingat emas kedua peribadi.

Pelumba berusia 19 tahun itu menambah koleksi pingatnya pada kejohanan tersebut selepas memenangi aksi final 500 meter (m) ujian masa (TT) wanita di Velodrom Indira Gandhi sebentar tadi.

Izzah melakukan catatan masa 34.388 saat (s) bagi mengenepikan cabaran pelumba Korea Selatan, Hwang Hyeon-Seo yang mencatat 34.802s untuk pingat perak manakala gangsa menjadi milik Luo Shuyan dari China dengan 34.958s.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah menebus kekecewaan tahun lalu apabila dia sekadar meraih perak dalam acara tersebut.

Terdahulu, Izzah membuktikan dia jaguh dalam pembikinan apabila turut memenangi emas menerusi acara keirin elit wanita selain merangkul perak pecut berpasukan wanita dan gangsa pecut individu wanita.

Sementara itu, Muhammad Ridwan Sahrom pula terpaksa berputih mata dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa lelaki selepas dia sekadar menamatkan aksi final di tempat keempat keseluruhan dengan catatan 1:02.452s.

Pingat emas dimenangi pelumba China, Li Zhiwei menerusi catatan masa 1:00.875s diikuti Minato Nakaishi dengan 1:02.101s memenangi perak manakala gangsa milik pelumba Kazakhstan, Kirill Kurdidi mencatat 1:02.406s. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI