PETALING JAYA – Kumpulan Facebook Isteri Suami Terabai dan Suami Isteri Terabai 2.0 yang ditubuh pada 2018 tular baru-baru ini sekali gus muncul antara lima carian popular di laman media sosial tersebut.
Semakan Kosmo! di dua kumpulan itu mendapati akaun tersebut mempunyai 195,000 dan 107,000 pengikut yang terdiri daripada mereka yang sudah berkahwin.
Berdasarkan penerangan yang dikongsi pengendali kumpulan itu, mana-mana pengikut dilarang menggunakan bahasa kesat atau kurang sopan dan tidak boleh menyebut nama individu lain dalam setiap hantaran yang dibuat.
Antara fokus utama penubuhan kumpulan itu adalah bagi mendengar isi hati suami atau isteri yang merasakan dirinya diabai pasangan masing-masing selain membuka ruang kepada mereka untuk bertemu dengan rakan-rakan baharu.
“Untuk yang terabai sahaja. Semoga kebahagiaan milik suami isteri yang terabai.
“Henti daripada terus sakitkan diri sendiri. Henti daripada terus meletakkan harapan pada orang yang salah dan tidak tahu menghargai diri anda.
Itu antaar kata-kata pujukan yang dipromosikan oleh kumpulan Facebook tersebut.
Semakan Kosmo! ke atas hantaran dan luahan yang dikongsikan ahli dalam kumpulan terbabit mendapati, ramai secara terbuka menceritakan tentang hal mengaibkan pasangan masing-masing termasuk hubungan kelamin.
Selain itu, ada juga yang mencuba nasib mencari ‘pasangan sementara’ atau teman berhibur di kala pasangan mereka berada di luar negeri atas urusan kerja.
Bagaimanapun, ramai pengguna media sosial lain berasa kurang selesa dengan kewujudan dua kumpulan Facebook terbabit kerana ia boleh menjurus kepada hubungan terlarang serta masalah sosial.
“Harap pihak berkuasa dan Kementerian Komunikasi kawal penubuhan kumpulan Facebook yang bukan-bukan seperti ini. Sekat kandungan yang menjurus kepada kerosakan akhlak masyarakat negara,” tegas Farid Daud.
“Macam-macam, yang ‘join’ (sertai) pun aku tengok ‘real account’ (pemilik akaun sebenar). Tak malukah? Siap cerita hal bawah kain kepada umum,” soal Azhar. – KOSMO! ONLINE