ALOR SETAR – Penganjuran konsert dikenali sebagai Choii Underground Music Tour Kedah 2.0 yang mencetuskan kontroversi kerana melibatkan kelakuan terkinja-kinja anak muda di Taman Jubli Emas, di sini semalam tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri.
Konsert tersebut turut menerima kecaman netizen kerana diadakan pada malam Nisfu Syaaban.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, kerajaan negeri mengambil maklum mengenai kontroversi melibatkan konsert tersebut.
“Kerajaan negeri tidak pernah menerusi mana-mana agensi di bawah pentadbiran ini memberi permit atau kelulusan untuk konsert itu diadakan.
“Memang benar ada permohonan dikemukakan kepada kerajaan negeri, namun dalam permohonan itu langsung tidak dinyatakan mengenai cadangan konsert atau pertunjukan pentas seperti itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya hanya meluluskan permohonan penganjur untuk mengadakan karnival jualan dan acara-acara yang dibenarkan mengikut garis panduan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri akan memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan berkaitan perkara itu dan akan memutuskan tindakan susulan mengikut undang-undang,” ujarnya.
Tambahnya, mana-mana pihak yang melanggar syarat setelah diberikan kelulusan untuk menganjurkan sesuatu acara akan disenarai hitam daripada terlibat dalam apa jua program di negeri ini pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE
@rie.rie51 #fyp #bukamulotmohong ♬ original sound – Rie Rie