CYBERJAYA – Inisiatif Projek Penggerak Wanita Risda (Pewaris) yang digerakkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) diharap dapat menjadi pemangkin golongan wanita di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pewaris yang diwujudkan itu juga diharap dapat mengubah landskap wanita menerusi kaedah baharu yang bersesuaian.
“Saya juga mahu Pewaris ini bergerak seiring dengan program JELITA@RISDA yang dilancarkan tahun ini iaitu platform TVET (Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional).
“Sebelum ini, saya sudah nyatakan bahawa pada 2027 Kolej Risda akan melahirkan seramai 150,000 graduan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pewaris di sini tadi.
Katanya, beliau yakin bahawa sasaran itu dapat dicapai kerana kursus yang dijalankan sesuai dengan kehendak pasaran dan mampu melahirkan tenaga kerja mengikut pasaran.
“Jadi, saya mahu Pewaris menjadi pemangkin kepada kursus yang akan diwujudkan menerusi JELITA@RISDA yang akan bermula nanti.
“Pewaris juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) seperti Felcra Berhad dan Majlis Majlis Amanah Rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE.