KUALA LUMPUR – Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou membuktikan kemampuan diri apabila meraih gelaran berganda pada Kejohanan Badminton Para Dunia 2024 yang berlangsung di Pattaya, Thailand.
Pada aksi final yang berlangsung hari ini, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu mengekalkan kejuaraan dalam acara perseorangan lelaki SU5 selepas menewaskan musuh tradisi dari Indonesia, Deva Anrimusthi 21-15, 16-21, 21-15.
Lebih manis, ia merupakan gelaran dunia kelapan buat Liek Hou dalam acara perseorangan selepas turut memenanginya ketika beraksi pada edisi 2005, 2007, 2011, 2013, 2015, 2017 dan 2022.
Pemain berusia 36 tahun itu bukan sahaja membuktikan kejaguhannya dalam acara perseorangan, malah dia turut memahat nama sebagai juara dunia menerusi acara beregu lelaki SU5 bersama Muhammad Fareez Anuar.
Kemenangan 21-17, 21-18 ke atas beregu India, Chirag Baretha-Raj Kumar memastikan Liek Hou menebus kekecewaan ketika dia muncul naib juara pada edisi 2022 ketika bergandingan bersama Mohamad Faris Ahmad Azri. – KOSMO! ONLINE