KAJANG – Jabatan Penjara Malaysia menegaskan kos makan minum banduan sebanyak RM41 sehari seperti didakwa di media sosial adalah tidak tepat serta tidak menggambarkan kos keseluruhan yang sebenar.
Jabatan tersebut dalam kenyataan hari ini menegaskan, kos pengurusan harian penjara bagi seorang banduan adalah sebanyak RM50 meliputi pelbagai bahagian perbelanjaan.
“Ia bukan hanya perbelanjan makan minum, tetapi turut merangkumi kos keperluan asas, kos gaji, emolumen anggota dan kakitangan penjara juga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Jabatan Penjara Malaysia terkesan hantaran seorang pengguna media sosial dengan kenyataan”Kos makanan banduan di Malaysia RM41 sehari” memetik sumber berita yang disiarkan sebuah media tempatan.
Hantaran terbabit dikesan menggunakan sumber laporan media terbabit yang dikeluarkan pada 18 Julai 2019.
“Bagaimanapun, satu kenyataan pembetulan semula telah disiarkan melalui berita bertajuk”RM41 merangkumi kos operasi, kebajikan banduan pada tarikh 20 Julai 2019,”katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan orang ramai supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak tepat berkaitan perkara ini.
Sabtu lalu, tular hantaran di platform X dan Facebook ekoran kenyataan yang dimuat naik seorang pengguna media sosial bertajuk kos makanan banduan di Malaysia RM41 sehari.-KOSMO! ONLINE.