fbpx

Ed Sheeran ‘on time’ gemakan SNBJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ED SHEERAN menghiburkan ribuan penonton di SNBJ, malam tadi dengan persembahan konsert cemerlang. - MOHD. HAIKAL ISA

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Britain, Ed Sheeran memberi pengajaran pada konsert jelajahnya, + − = ÷ × yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebentar tadi bahawa masa itu emas.

Tepat pukul 9 malam, Ed atau nama sebenarnya, Edward Christopher Sheeran, 33, melantunkan lebih 20 seleksi lagu popularnya yang dipetik daripada album-album studio yang menjadi inspirasi kepada para peminat seluruh dunia. 

Tidak seperti penyanyi antarabangsa lain atau bahkan penyanyi tempatan yang kadang-kadang membuatkan peminat tertunggu-tunggu, Sheeran membuktikan ketepatan masa itu adalah satu perkara yang penting.

“Apa khabar semua? Terima kasih kerana merempuh kesesakan lalu lintas, bersesak naik kereta api untuk sama-sama menikmati malam ini dengan saya,” ujar Sheeran usai menyanyikan lagu pembukaan, Tides yang dipetik daripada album kelimanya, Equals

Biarpun tidak mampu menandingi rekod atau jumlah kehadiran konsert Coldplay (81,000 orang) November tahun lalu, Sheeran tetap memberikan persembahan terbaik dari segi listrik vokal, kawalan pentas, petikan gitar dan perihal penting kemenjadian sesebuah konsert mega. 

Antara mencuri tumpuan adalah pentas yang berpusing 360 darjah di tengah-tengah SNBJ. Sekali pandang konsepnya seperti cakera padat berpusing atau meja pusing makan di kenduri atau majlis makan. 

Selama dua jam lebih persembahan, lelaki kelahiran West Yorkshire England itu bermain muzik tanpa henti dan sekali sekala berkomunikasi dengan ribuan penonton yang hadir pada malam konsert. 

“Ini kali kedua saya buat persembahan di sini (SNBJ) dan saya memang sangat seronok dapat buat persembahan sekali lagi. Terima kasih kepada semua yang hadir,” katanya. 

Antara lagu hit yang didendangkan Sheeran termasuklah The A Team, Thinking out Loud, Photograph, Perfect, Shape of You dan menutup persembahan dengan bunga api berwarna-warni mencucuk langit menerusi lagu Bad Habits.

Konsert jelajah + − = ÷ × anjuran AEG Presents dan PR Worldwide itu sebelum ini mendapat tentangan daripada fanatik bola sepak yang cakna dengan keadaan rumput di SNBJ. 

Selain itu, terdapat sebilangan golongan alim ulama yang menentang keras penganjuran konsert Ed Sheeran dan menganggapnya tidak menghormati kedatangan bulan Ramadan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI