PETALING JAYA – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan meneliti harga pasaran beras antarabangsa, kos operasi dan kadar pertukaran mata wang asing dalam membantu kerajaan untuk menawarkan harga beras putih import (BPI) yang lebih rendah.
Bernas dalam satu kenyataan berkata, walaupun trend harga BPI masih berlegar pada paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas, pihaknya telah membawa masuk dan mengedarkan BPI sebanyak 1.03 juta tan metrik pada tahun lalu.
Katanya, jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 46 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pada masa sama, Bernas terus komited melaksanakan obligasi sosial dalam mengurus stok penimbal negara dan sebagai ‘Buyer of Last Resort’ atau pembeli padi yang terakhir.
“Bernas menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya inisiatif Beras Putih Malaysia Madani (BPMM) diteliti dan diperhalusi melalui sesi penglibatan yang lebih terperinci oleh semua pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya di sini hari ini.
Bernas turut memuji usaha Kerajaan Madani yang mendengar dan mengambil kira semua pandangan daripada wakil kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada sesi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024 pada Jumaat lalu.
“Bernas mengulangi pendirian dalam memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, agensi dan pihak berkuasa berkaitan dalam mencari mekanisme dan langkah intervensi terbaik bagi memastikan ketersediaan bekalan beras stabil dan mencukupi untuk rakyat Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE.