fbpx

Zulkafperi yakin tidak dipecat dari Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkafperi (kanan) pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjong Karang hari ini. FOTO: AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA SELANGOR – ‘Tiada pecat’

Demikian tegas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi terhadap keyakinan berhubung tindakan beliau bersama lima lagi anggota Dewan Rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tanjong Karang turut memaklumkan tindakan pemecatan tersebut hanya menyebabkan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkurangan dan melemahkan sokongan rakyat terhadap mereka.

“Kalau kena pecat, saya akan jadi wakil rakyat bebas dan terpulanglah untuk menyokong sesiapa pun. Jadi, saya yakin pemecatan hanya menyebabkan Perikatan Nasional (PN) hilang (kerusi) ahli parlimen mereka sendiri.

“Mungkin saya kena gantung namun terpulang kepada pimpinan Bersatu yang akan menentukannya,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjong Karang hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sebarang kemungkinan tindakan susulan dikatakan Mesyuarat Agung Khas Bersatu akan diadakan pada minggu depan.

Sebelum ini, lima ahli Parlimen daripada PN yang telah menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) serta Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasa (Bukit Gantang).

Zulkafperi menegaskan, tidak wujud unsur khianat dengan beliau memfokuskan kepada masalah dihadapi 67,000 pengundi dan masyarakat Tanjong Karang.

“Selama setahun, saya fokus kepada politik dan sekarang memikirkan dan sedar kepentingan rakyat Tanjong Karang.

“Amat sukar bagi saya menjadi ahli parlimen pembangkang (baharu) untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat dalam keadaan tiada peruntukan dan pengundi. Saya tidak dapat berfungsi sebagai Ahli Parlimen,” jelasnya.

Ketika ditanya berhubung penggubalan perlembagaan parti bagi mengelakkan Ahli Parlimen daripada Bersatu menyokong Anwar, beliau berkata, ia lebih kepada menakutkan Ahli Parlimen lain yang berfikiran untuk mengubah sokongan tersebut.

“Mungkin mereka (Bersatu) boleh ubah namun akhirnya Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (RoS) yang menentukan sama ada pindaan tersebut boleh diterima atau tidak,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI