fbpx

300 pasangan Malaysia nikah di Selatan Thailand setiap bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fahmi berucap ketika Majlis Perasmian Hari Melayu Ke-9 di Sanam Chang Phueak Park, wilayah Yala pada kelmarin.

YALA, Thailand – Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand mengesahkan seramai 250 hingga 300 pasangan bernikah di Selatan Thailand setiap bulan.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, jumlah itu meliputi pasangan yang bernikah di wilayah Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun.

“Terdapat pelbagai sebab pasangan ini bernikah di Selatan Thai termasuk poligami selain mendirikan rumah tangga dengan pasangan warga Thailand.

“Boleh dikatakan nisbah 60:40 berkahwin di Thailand untuk poligami, manakala selebihnya sebab lain seperti pernikahan kali pertama dengan warga Thailand itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Melayu Ke-9 di wilayah Yala, di sini kelmarin.

Terdahulu, beliau dan Menteri Keadilan Thailand, Thawee Sodsong dan Konsul Jeneral Indonesia di Songkhla, Suargana Pringganu merasmikan sambutan Hari Melayu Ke-9 di wilayah itu.

Menurut Ahmad Fahmi, terdapat pelbagai punca ramai pasangan termasuk dari Malaysia membuat keputusan untuk berkahwin di Thailand.

“Antara sebabnya ada yang mendapat tentangan keluarga, tidak mendapat persetujuan isteri pertama dan lain-lain lagi.

“Walau apapun masalah yang berlaku, saya sarankan pasangan yang bernikah di negara ini supaya mendaftarkan pernikahan dengan pejabat agama di negeri masing-masing sebaik pulang ke Malaysia,” ujarnya.

Jelasnya, pendaftaran pernikahan di Malaysia sangat penting bagi mengelakkan pelbagai masalah berkait pernikahan tersebut timbul di kemudian hari.

Antara masalah tersebut adalah berkaitan status anak tanpa negara, pewarisan harta dan masalah wali untuk bernikah apabila dewasa kelak.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI