fbpx

Waspada main air musim panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

EPISOD kejadian lemas semakin menjadi-menjadi terutama apabila musim panas ketika ini ditambah dengan cuti persekolahan.

Ramai berlumba-lumba menjadikan lokasi seperti sungai dan laut, malah kolam mandi sebagai destinasi utama bagi menghilangkan haba badan di samping menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan.

Kadar kematian melibatkan tragedi lemas ini juga dikatakan lebih tinggi berbanding kebakaran setiap tahun.

Malah, dalam laporan media sebelum ini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendedahkan secara purata sebanyak 268 kes setahun atau 23 kes sebulan direkodkan sepanjang tempoh 2018 hingga 2022.

Tidak salah dikatakan antara faktor berlakunya kejadian lemas termasuk akses tanpa batasan, kurangnya pengetahuan dan pemahaman tentang keadaan air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan Selangor, Sharin Jasmi berkata, keselamatan seseorang mangsa lemas bergantung kepada masa dan tempoh kejadian tersebut.

Katanya, secara umumnya tahap kadar pernafasan manusia normal yang sedang berhadapan dengan insiden mempunyai masa di antara seminit hingga dua minit bagi menyelamatkan diri mereka.

Ini kerana, semakin lama seseorang itu tenggelam, semakin banyak air di dalam paru-paru sehingga gagal mengepam oksigen.

“Kalau boleh kita berfikir secara tenang dan cuba ke tempat cetek atau selamat. Selain itu, kita juga ada melihat mana-mana kes akan ada orang ramai segera terjun untuk cuba menyelamatkan mangsa.

“Kemudian sekiranya telah melebihi lima minit tenggelam adalah perlu segera melakukan Resusitasi Kardio Pulmonari (CPR) bagi membantu kelangsungan hidup mangsa,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pegawai Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Selangor menjelaskan, ia juga bergantung kepada sejarah penyakit seseorang seperti asma yang memerlukan masa lebih awal untuk tindakan penyelamatan.

Ujar Sharin, ilmu berkaitan CPR ini perlu diketahui serta dipelajari oleh orang awam dan bukannya terhad di kalangan bomba atau pasukan perubatan seperti doktor dan jururawat.

“Bagaimanapun, apa turut penting adalah mengetahui teknik menyelamat yang efektif sebab yang mahir berenang turut berdepan risiko.

“Ini berlaku apabila ada wujudnya kes berangkai yang sepatutnya seorang menjadi dua orang. Peka keadaan sekeliling dengan menggunakan pelepah pokok, tong plastik, atau baju sendiri yang digabungkan untuk dijadikan seperti tali bagi menarik mangsa,” katanya.

Beliau memberitahu, terdapat penyebab seseorang itu lemas khususnya di Selangor adalah disebabkan cuba mencabar diri dengan berada di kawasan dalam.

“Rata-rata mahu berenang untuk beriadah, namun mereka berada di tahap air yang mereka tidak mampu hadapi sehingga melepasi paras dada.

“Ada juga yang pergi memancing, namun tidak memakai jaket keselamatan terutama apabila berlaku kes bot terbalik,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Sharin berkata, aspek lain perlu ditekankan adalah keprihatinan terhadap pemasangan papan tanda bahaya dan rajin menelaah kajian cuaca di sekitar lokasi tempat ingin dituju.

“Ini penting bagi mengelakkan kes-kes terperangkap dalam kejadian kepala air kerana mungkin di lokasi kita tujui cuaca cerah namun punca sesebuah air khususnya di sungai adalah hulu,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI