fbpx

Tze Yong bakal jalani pembedahan belakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TZE YONG dijangka berehat selama dua hingga enam minggu sebaik selesai menjalani pembedahan pada bahagian belakang minggu depan. - FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong bakal menjalani pembedahan minggu depan ekoran kecederaan belakang yang dialaminya ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.

Perkembangan terbaharu itu menjadi tamparan hebat buat pemain berusia 24 tahun berkenaan apabila bakal terlepas kejohanan Terbuka Perancis bermula 5 hingga 10 Mac depan serta Seluruh England (12 hingga 17 Mac).

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelaskan, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu dijangka berehat selama dua hingga enam minggu sebaik sahaja selesai menjalani pembedahan tersebut.

“Keutamaan BAM adalah pemain. Tumpuan kami adalah terhadap rawatan dan proses pemulihan Tze Yong. Sebaik dia pulih, kami akan membincangkan mengenai langkah seterusnya.

“Buat masa ini, kami mahu dia memberikan perhatian terhadap proses rawatan bagi mengatasi masalah kecederaan ini,” kata Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menerusi kenyataan yang dikeluarkan BAM hari ini.

Pada masa sama, badan induk itu juga berharap Tze Yong pulih sepenuhnya dan sempat beraksi pada kejohanan Sepanyol Masters bermula 26 hingga 31 Mac serta Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China pada 9 hingga 14 April depan.

Secara realistik, masa semakin suntuk buat Tze Yong dalam usahanya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 memandangkan saingan kelayakan akan berakhir hujung April nanti.

Pada ketika ini, pemain kelahiran Johor itu berada di kedudukan ke-15 ranking kelayakan Olimpik dan dia perlu kekal dalam kelompok 16 teratas sekiranya mahu mengesahkan slot ke temasya sukan terbesar dunia tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI