IPOH – Seorang tukang cuci tidak menyangka amalannya menyimpan dalam Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) sejak lebih 20 tahun lalu melayakkannya menerima ganjaran berupa simpanan tunai BSN SSP bernilai RM1 juta.
Mohd. Nazri Abd. Wazir, 61, dari Parit itu diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan BSN SSP yang ke-96.
Menurut Mohd. Nazri, perasaan terkejut dan tidak percaya menyelubunginya selepas dihubungi pegawai daripada BSN yang memaklumkan dia terpilih menerima durian runtuh itu.
Katanya, walaupun pernah berangan-angan untuk meraih ganjaran daripada simpanannya, dia bagaimanapun tidak mahu meletakkan harapan tinggi.
“Masa diberitahu berita ini, saya terkejut dan rasa mahu pengsan. Saya hanya mencuba nasib membuat simpanan tapi tidak sangka pula akan mendapat rezeki berganda.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kepada Allah. Orang pertama yang saya beritahu adalah ibu yang kini berusia 84 tahun sebelum memaklumkan kepada adik beradik lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima replika cek yang diserahkan Pengarah BSN Perak, Mazlan Mat Jalil di sini hari ini.
Menurut Mohd. Nazri, dia berhajat menggunakan wang kemenangannya itu untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bersama keluarga.
“Saya berhasrat untuk bawa adik lelaki ke Mekah kerana ibu telah pun ke sana sebelum ini. Selain itu, duit ini juga akan saya gunakan untuk perbelanjaan harian selain menabung kembali.
“Menabung ini adalah untuk masa depan, jika ada keperluan mendesak kita boleh gunakannya semula,” katanya yang pernah menjadi tukang cuci di Singapura.
Selain Mohd. Nazri, dua kakitangan kerajaan iaitu Mohd. Nasir Abdullah, 57, dan Mahani Muhammad, 56, turut membawa pulang hadiah BSN SSP RM50,000 sempena Cabutan Ulang Tahun BSN ke-50