BANGI – Pelakon Shukri Yahaya bersyukur dapat mengelakkan diri daripada penyondol kerana dilindungi netizen secara tidak langsung memberi amaran kepada orang ketiga yang berpotensi mengganggu rumah tangganya.
Shukri atau nama lengkapnya Mohd. Shukri Yahaya, 37, berkata, dia sudah lebih sedekad dalam industri seni bergandingan dengan ramai aktres jelita tetapi tidak pernah sekali pun terdetik dalam hatinya untuk curang di belakang isteri.
“Sebenarnya bagus apabila netizen cuba mempertahankan saya kerana secara tidak langsung mengingatkan saya serta orang ketiga agar tidak kacau hubungan harmoni saya dan isteri.
“Saya dah berlakon hampir 12 tahun, tapi saya tidak pernah terlintas untuk curang dengan isteri saya meskipun banyak bawak watak lelaki kaki perempuan.
“Jujurnya, sebaik habis berlakon saya tinggalkan karakter itu di set penggambaran dan tidak bawa pulang ke rumah, bahkan saya tidak memanjangkan hal kerja dalam telefon atau bermesej dengan heroin,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditanya mengapa gemar membawa watak lelaki tidak setia, aktor itu berpendapat, deretan sutradara percaya dia yang paling sesuai menggalas peranan sebegitu berbanding aktor lain.
“Saya sendiri pun tidak tahu mengapa diberikan watak sebegitu, mungkin orang (sutradara) lebih percaya saya bawa karakter sebegitu berbanding pelakon lain.
“Saya terima sahaja apa yang saya rasa boleh bawa dan secara tidak langsung itu adalah rezeki, selagi saya boleh buat, saya buat semuanya tetapi tetap juga memilih watak yang sesuai.
“Saya bukan pelakon metode, hanya aplikasikan teknik kepada lakonan supaya nampak lebih natural dan tidak berlebihan,” ujarnya pada majlis tayangan siaran langsung episod akhir drama Layang Layang Perkahwinan.
Selain drama bersiri kisah kecurangan rumah tangga itu, karakter digalas dalam beberapa naskhah sebelum ini menonjolkan watak lelaki kasanova.
Shukri dan isteri, Tya Adnan mendirikan rumah tangga pada 20 November 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aaira Ameena, 8, dan Maleew Miqayl, 4. – KOSMO! ONLINE