fbpx

Sah kahwin! Shakilla Khoriri akhirnya kongsi wajah suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

PETALING JAYA – Menamatkan teka-teki, pelakon Shakilla Khoriri akhirnya mengesahkan sudah mendirikan rumah tangga dengan jejaka dikenali sebagai Fariz Zulkepley dalam sebuah majlis tertutup di Shah Alam hari ini.

Berkongsi kegembiraan, Shakilla atau nama penuhnya Nurul Shakilla Mohd Khoriri, 34, berkata, majlis tersebut diadakan secara tertutup atas permintaan dan persetujuan kedua-dua belah keluarga.

“Selamat datang Uncle Fariz. Alhamdulillah selesai majlis hari ni dengan kehadiran keluarga dan teman-teman rapat.

“Majlis yang kecil dan tertutup di atas permintaan dan persetujuan kami sekeluarga untuk menyambut dan meraikan ahli baru dalam keluarga kami,” katanya dalam Instagram.

Sama seperti pasangan pengantin lain, dia turut menitipkan ucapan terima kasih untuk semua doa buat dirinya termasuk anak perempuannya, Ameena Sofia.

Ujarnya, pernikahan tersebut juga membawa kepada pertambahan dalam tanggungjawab kerana perlu menjaga dua insan yang diamanahkan oleh Tuhan.

“Kami berdua setuju dan bersyukur dengan kehadiran Uncle Fariz dalam keluarga kecil kami.

“Tanggungjawab bertambah. Amanah Allah SWT untuk saya menjaga dua orang ini. Doakan saya dan perjalanan baru ini lebih baik untuk kami bertiga.

“Doakan saya menjadi umi, isteri yang baik, kuat dan sihat untuk menjaga mereka serta bahagiakan mereka selagi Tuhan pinjamkan hayat saya atas dunia ini.

“Terima kasih mak abah, Ameena Sofia dan Allah,” katanya lagi.

Sebelum ini, Shakilla pernah bernikah dengan penyampai radio Fizi Ali pada 18 Januari 2018 namun mengumumkan penceraian pada Disember 2021.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak iaitu Ameena Sofia yang kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI