PETALING JAYA – Khabar angin mengenai pelakon Shakilla Khoriri menamatkan zaman jandanya semakin terjawab apabila pelakon Ramona Zamzam memuat naik sekeping foto bersama aktres berkenaan yang mengenakan busana serba putih.
Dalam masa sama, Ramona atau nama lengkapnya Ramona Qadira Mohd Zamzam, 34 itu juga mendoakan agar Shakilla dikurniakan kebahagiaan yang diimpikan selama ini.
“Semoga kebahagiaan milikmu Shakilla, sayang kau dan Ameena,” tulisnya ringkas sebagai kapsyen hantaran foto dalam Instagram miliknya.
Bukan itu sahaja, tanda pagar #shakilaxfariz turut menguatkan lagi dakwaan pemilik nama lengkap Nurul Shakilla Mohd Khoriri, 35 itu bakal menamatkan status ibu tunggalnya hari ini.
Semakan Kosmo! Online menerusi ruangan komen, rata-rata peminat mengucapkan tahniah dan turut berbahagia apabila episod derita ibu kepada seorang cahaya mata itu berakhir.
“Tahniah Shakilla, akhirnya giliran awak menggenggam bahagia, semoga kekal hingga ke syurga,” demikian komen netizen.
“Wah, jelas seri pengantin di wajah Shakilla, setelah sekian lama bergelut dengan kontroversi entah apa-apa, akhirnya dia memeluk bahagia, Alhamdulillah,” demikian komen seorang lagi netizen.
Difahamkan majlis berlangsung di Shah Alam dan hanya dihadiri keluarga terdekat dan kenalan rapat.
Sebelum ini, Shakilla pernah bernikah dengan penyampai radio Fizi Ali pada 18 Januari 2018 namun mengumumkan penceraian pada Disember 2021.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak iaitu Ameena Sofia yang kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE.