SAAT ikan mengena umpan, detik itu memberi keterujaan buat pemancing untuk beradu tenaga menaikkan hasil.
Perasaan tersebut sukar digambarkan dengan kata-kata.
Malah, setiap ikan memberi cabaran dan kepuasan berbeza buat pemancing.
Begitu juga yang dirasakan oleh seorang kaki pancing, Shah Jaa.
Lelaki berusia 54 tahun itu merupakan pemburu tegar ikan rohu sejak lapan tahun lalu.
Menurutnya, rohu merupakan ‘raja’ ikan air tawar dan antara spesies popular yang diburu oleh kaki pancing.
“Saya tertarik memancing rohu selepas mengikut kawan memancing ikan itu di kolam komersial.
“Selepas memancing ikan tersebut dan merasai cabaran menawannya, saya terus fokus memburu rohu setiap kali keluar memancing,” katanya ketika dihubungi Gewang baru-baru ini.
Tambahnya, apa yang memberi keterujaan semasa memburu rohu adalah sewaktu ia terkena umpan.
Jelas Shah, biasanya ikan tersebut akan memberi tentangan kerana sifat agresifnya untuk melepaskan diri.
Untuk makluman, rohu banyak ditawarkan di kolam-kolam ikan komersial dan menjadi salah satu tarikan buat pemancing.
Terdapat beberapa lokasi yang popular dengan rohu, antaranya kolam di sekitar Hulu Langat, Selangor dan Putrajaya. Namun begitu, bagi merasakan keterujaan yang lebih, Shah biasanya akan memburu rohu di lubuk liar seperti kawasan bekas lombong.
Katanya lagi, rohu liar biasanya lebih agresif dan sukar untuk diburu, namun jika berjaya ditangkap, ia biasanya tidak mengecewakan.
“Jika memancing rohu liar, saya biasanya ke lombong.
“Paling jauh saya pernah pergi memancing adalah di sebuah lombong di Perak.
“Kebetulan, lombong berkenaan terletak berhampiran kampung halaman isteri saya. Memancing rohu liar ini lebih mengujakan.
“Bukan sahaja ikan lebih ‘garang’, malah saiznya juga lebih besar sehingga mampu mencecah lima kilogram seekor,” ujarnya lelaki berasal dari Melaka itu.
Ceritanya lagi, sama ada memancing di kolam komersial atau lubuk liar, pemburu rohu wajib mempunyai umpan yang ‘mujarab’ dan peralatan utama iaitu mata bom.
Untuk umpan, Shah biasanya akan membuat campuran sendiri dengan menggunakan bahan asas iaitu dedak ayam 929.
Pada mata bom akan diletakkan umpan seperti roti dan palet bagi menggoda ikan memakan umpan.
“Kalau memancing rohu, kita akan menggunakan teknik ‘bom’, di mana umpan dicampak pada satu kawasan (spot) supaya menjadi lubuk makanan buat ikan.
“Memancing memerlukan tahap kesabaran yang tinggi kerana setiap spot yang dicampak ‘bom’ mengambil masa untuk menarik ikan, malah ada sehingga berjam-jam,” jelasnya.
Tambahnya, jika memancing di kolam komersial, pemancing perlu tahu waktu ikan dilepaskan di dalam kolam.
Katanya, bagi mendapat tangkapan yang lumayan di kolam komersial, ikan rohu akan mula memakan umpan selepas tiga hari dilepaskan di dalam kolam.