KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bakal menyumbang sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan yang ingin mengikat tali perkahwinan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, insentif tersebut diharapkan dapat menjadi galakan untuk golongan asnaf, khususnya orang muda untuk melangsungkan perkahwinan.
Tambah beliau, sumbangan tersebut juga bakal diberikan kepada individu dan tidak terhad kepada pasangan yang ingin berkahwin.
“Sumbangan ini untuk seorang, bukan untuk pasangan. Jadi, setiap pasangan boleh mendapat maksimum sebanyak RM10,000 untuk melangsungkan perkahwinan.
“Oleh itu, sekiranya ada dikalangan asnaf ini yang ingin berkahwin dan bina rumah tangga, inilah masanya,” katanya ketika ditemui di Majlis Akad Nikah Rahmah 2024 di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Mohd. Na’im berkata, inisiatif tersebut juga diambil untuk mengalakkan perkahwinan di samping menjadi satu langkah untuk mengelakkan masalah sosial yang berlaku di negara ini.
“Jadi, sekiranya pasangan ini komited dan mempunyai hasrat untuk membina rumah tangga, ambil peluang ini untuk bernikah.
“Mulai hari ini, golongan asnaf boleh kemukakan permohonan khusus untuk insentif ini. Perkara lain-lain akan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan MAIWP,” ulasnya. – KOSMO! ONLINE