fbpx

KSM fokus peruntukan RM6.8 bilion perkasa TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Steven (tengah) bersama penerima kelengkapan persekolahan sempena Karnival Latih Madani (KLM) dan Program Kesuma Madani di Bukit Mertajam, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kementerian Sumber Manusia (KSM) memfokuskan peruntukan RM6.8 bilion yang diterima menerusi Belanjawan 2024 bagi memperkasakan agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya antara kementerian utama yang akan melaksanakan pelbagai program latihan bagi meningkatkan golongan pekerja berkemahiran tinggi.

“Kita mahu melatih lebih ramai individu supaya dapat memberi kemahiran lebih baik kepada pekerja sekali gus meningkatkan produktiviti mereka.

“Menerusi pensijilan dan kemahiran yang dimiliki, golongan pekerja akan berpeluang mendapat upah dan gaji yang lebih tinggi,” katanya ketika menghadiri Karnival Latih Madani (KLM) dan Program Kesuma Madani di Dewan Ng Yam Huat di Bukit Mertajam, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementerian akan merancakkan usaha meliputi penyediaan latihan kemahiran demi memenuhi keperluan majikan dan pekerja.

“Setiap pekerja mahukan gaji lebih baik dan setimpal manakala majikan pula inginkan kos lebih rendah dan keuntungan yang lebih tinggi.

“Kedua-dua (keinginan) ini bercanggah namun bagi saya, kita perlu berusaha bagaimana untuk menutup jurang perbezaan ini antara kos buat bisnes dan pekerja mendapat kebajikan dan gaji lebih baik.

“Jawapannya ialah dengan meningkatkan produktiviti dan sekiranya ia dapat ditingkatkan, bukan sahaja majikan yang menjalankan perniagaan akan memperolehi lebih banyak keuntungan malah pekerja mendapat pampasan lebih bagus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI