KUALA LUMPUR – Pelakon jelita Erra Fazira diangkat sebagai penerima anugerah utama dengan membawa pulang trofi Primadona Telenovela, pada malam kemuncak Anugerah Telenovela kali ke-9 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam tadi.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 50, ketika ditemui berkata, dia sangat berbesar hati di atas penghargaan itu dan beranggapan gelaran primadona yang diberikan kepadanya agak besar, namun tidak melihat tanggungjawab itu sebagai satu bebanan besar.
“Saya agak terkejut dengan kemenangan malam ini. Kalau ikutkan saya tidak boleh datang ke acara malam ini, tapi saya cuba juga datang selepas diberitahu akan menerima anugerah Primadona Telenovela.
“Saya merasakan agak awal untuk saya memenangi trofi ini tapi apa pun terima kasih kepada semua orang di atas kepercayaan ini,” katanya kepada Kosmo! Online.
Selain Erra, pelakon sensasi, Sophia Albarakbah turut menerima penghargaan apabila dinobatkan sebagai Ratu Telenovela dan Pelakon Wanita Popular.
Manakala pelakon, Meerqeen pula sebagai Bintang Telenovela serta Pelakon Lelaki Popular.
Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 23, berkata, dia tidak menyangka dengan kemenangan tersebut, namun mengakui gembira dengan penghargaan yang diberikan kepadanya.
“Alhamdulillah saya menang. Saya gembira kerana ini anugerah pertama saya sertai dan menang. Saya tak jangka kemenangan ini tapi saya tahu peminat dan keluarga saya sentiasa dibelakang.
“Mereka sentiasa berkerja keras untuk kemenangan ini dan menjadi pembakar semangat saya untuk terus berkarya,” katanya.
Pasangan pelakon, Kamal Adli dan Uqasha Senrose pula berjaya memenangi trofi Pasangan Serasi Popular, manakala drama Melur Untuk Firdaus diangkat sebagai Telenovela Popular.
Sementara itu, penyanyi dan pelakon, Hazama Azmi buat kali pertama diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Datin Intan Najuwa sebagai Pelakon Wanita Terbaik.
Turut membawa pulang trofi adalah Alif Satar menerusi kategori Artis Versatil Telenovela, Anna Jobling (Artis Sensasi Telenovela), Nelissa Nizam (Artis Bintang Harapan Telenovela), Gambit Saifullah (Artis Prolifik Telenovela) dan Hisyam Hamid (Artis Bintang Pujaan dan Pesona Telenovela).
Tidak pulang dengan tangan kosong adalah Jesnita yang dinobatkan sebagai Novel Popular, Epilog 3 Naga (Novel Terbaik), Wan Afzam Wan Daud (Pengarah Terbaik), Rangkaian Televisyen Media Prima (Stesen Penyiar Telenovela Terbanyak), Datuk Yusof Haslam (Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat) dan Roslan Madun (Anugerah Budayawan Sepanjang Hayat). – KOSMO ONLINE