BATU GAJAH – Penyusutan nilai ringgit mutakhir ini tidak akan menjejaskan sektor pelancongan di negeri ini terutama semasa promosi Tahun Melawat Perak 2024 (TMP 2024) yang sedang rancak berlangsung.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, faktor itu mampu menjadi katalis yang menggalakkan pelancong luar berkunjung ke negeri ini untuk berbelanja.
“Dahulu, ramai orang pergi ke Indonesia dan Thailand sebab duit (mata wang) orang sana lebih rendah daripada duit kita membuatkan barang lebih murah.
“Jadi jika nak dibandingkan, bukan bermakna saya minta duit jatuh tapi dengan kejatuhan ringgit ini akan menarik perhatian orang untuk datang.
“Saya percaya di Johor pun ramai orang dari Singapura yang berkunjung di negeri itu untuk membeli barang sebab lebih murah di Johor, jadi kena berfikiran positif tentang itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Taman Inspirasi Alam Semulajadi, Escape Ipoh di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau bagaimanapun berkata, negara ini tetapi memerlukan nilai mata wang yang kukuh untuk janaan sektor perdagangan antara negara terutamanya yang melibatkan perihal eksport dan import.
“Tetapi untuk pelancongan (penyusutan nilai ringgit) ia lebih baiklah sebab semua orang akan datang ke mari,” katanya. – KOSMO! ONLINE