KUALA LUMPUR – AEON Co. (M) Bhd. atau AEON melancarkan program ‘Senyum Tour’ sepanjang tahun ini sempena sambutan ulang tahun ke-40 di semua rangkaiannya di seluruh negara sekali gus memberi peluang kepada pelanggan menikmati tawaran istimewa yang disediakan.
Sehubungan itu, Jelajah ‘Senyum Tour’ dijangka bermula pada 27 April ini di AEON Mall Bukit Tinggi, Klang serta diteruskan ke semua rangkaian pusat beli-belah AEON di seluruh negara dengan kemuncak di AEON Mall Shah Alam pada Disember depan.
Timbalan Pengarah Urusan AEON Co. (M) Bhd., Naoya Okada berkata, program ‘Senyum Tour’ merupakan penghargaan AEON kepada pelanggannya yang selama ini menyokong perniagaan mereka sejak pembukaannya di Malaysia empat dekad lalu.
“Program ‘Senyum Tour’ tidak hanya terhad di suatu tempat atau tempoh tertentu atau kumpulan pelanggan tertentu, tetapi sambutannya adalah sepanjang tahun ini kepada semua pelanggan.
“Pelanggan boleh menikmati tawaran istimewa semasa ‘Senyum Tour’ di pusat beli-belah AEON termasuklah barangan istimewa, diskaun 40 peratus untuk item terpilih, 40 item ‘super deal’, tawaran harga tetap (flat price) RM40, promosi beli empat percuma satu, 400 hadiah percuma dan Happy Hour setiap empat jam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran program ‘Senyum Tour’ di AEON Mall Alpha Alpha Angle, Wangsa Maju yang turut dihadiri oleh Pengerusi AEON Co. (M) Bhd., Datuk Iskandar Sarudin.
Dalam perkembangan lain, Naoya turut mengumumkan pembukaan satu lagi rangkaian AEON Stor di Setia City Mall, Shah Alam kira-kira sebulan lagi serta AEON Mall yang baharu berdekatan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara pada tahun depan.
“Selain itu, kita juga telah melaksanakan pengubahsuaian terhadap rangkaian pusat beli-belah AEON Melaka Ayer Keroh dan AEON Mall Cheras Selatan.
“Jadi untuk tahun ini, pengubahsaian besar itu diteruskan kepada tiga lagi pusat beli-belah dan stor kami. Bagaimanapun, ia tidak akan mengganggu perniagaan sedia ada di situ,” katanya.
AEON Co. (M) Bhd. adalah syarikat peruncitan dan rangkaian pasar raya terkemuka di Malaysia dengan 28 AEON Mall, 34 AEON Stor, tujuh MaxValu Prime, 64 AEON Wellness dan 45 DAISO di seluruh negara.
Ia ditubuhkan pada tahun 1984 sebagai maklum balas kepada jemputan oleh Kerajaan Malaysia dalam membantu memodenkan industri peruncitan negara. – KOSMO! ONLINE